.: ~ PeNa MenUliS KalAm BErbiCara ~ :.

"Dunia ini tiada jaminan melainkan satu peluang"

10:28 AM

::. Mahasiswa Mendepani Isu Semasa .::

Posted by tinta berbicara

Muqaddimah

Gerakan mahasiswa di Indonesia, Filipina, Thailand, Pakistan dan lain-lain negara membangun dan negara maju telah menunjukkan beberapa teladan terbaik buat mahasiswa negara ini. Di Malaysia, posisi mahasiswa yang sangat strategik telah disedari oleh pemerintah, lalu cengkaman ala komunis dilaksanakan untuk membendung kegiatan para pelajar dan pensyarah. Mahasiswa kini terkurung dalam gedung keilmuan dan kebijaksanaan, dan merelakan diri ‘dipenjarakan’. Amatlah bahaya dan malang bagi seluruh ummah, satu dahan besar tempat bergantung kini terbiar mereput. Menangani isu-isu semasa bererti mengikuti, memahami, merasai dan membuat tindakan-tindakan yang perlu dengan segala perancangan yang sistematik, dengan tujuan mencari penyelesaian dan keputusan. Mengangkat sesuatu isu sewajarnya bertujuan merangsang tindakan daripada semua pihak agar satu tindakan dibuat untuk mengubah suasana dan membentuk satu realiti baru.

Selepas era 1970-an, belum ada lagi gerakan mahasiswa di Malaysia yang mampu mendepani sesuatu isu sehingga menghasilkan impak besar kepada landskap politik dan sosial negara ini.Lebih tragis lagi, sejak 1999 hingga kini, gerakan Mahasiswa tidak lagi memberi apa-apa makna kepada masyarakat di luar kampus gara-gara cengkaman perangkap pemerintah yang meletakkan mahasiswa sebagai satu kelompok cerdik pandai yang hanya boleh mempunyai satu set pemikiran, pendirian, inspirasi dan tujuan. Strategi pemerintah yang mengawal seluruh masyarakat kampus dengan kuasa dan ugutan telah membekukan sama sekali pembentukan idealisme dan intelektualisme kelompok cerdik pandai mahasiswa. Dengan sifat kemahasiswaannya, pelajar diarahkan mengikut software yang dicipta oleh kelompok politikus dan oportunis. Dengan satu butang dari PWTC, seluruh kampus hilang keriuhan dan kemeriahan keilmuan, menjadi sepi dan gerhana, dari VC hingga seluruh persatuan mahasiswa, legal dan underground, tunduk dan akur.

Realiti Massa

Bagi sebuah gerakan parti politik mahupun mahasiswa, seringkali isu-isu yang timbul ditangani dengan baik diperingkat awal sahaja, tetapi akhirnya tenggelam tanpa penyelesaian dan keputusan, gara-gara kehabisan stamina untuk memanjangkan hayat isu hingga membuahkan kesan yang dikehendaki. Seringkali isu dilaungkan dengan slogan retorikal, tanpa jaringan dan urutan tindakan yang mampu menimbulkan kefahaman dan keinsafan, merangsang penyertaan dan menggerakkan perubahan. Isu itu seterusnya dengan mudah dimatikan oleh pihak yang merasa tergugat, dan satu isu lain pula dicipta oleh pemerintah untuk memadamkan isu lama. Belum pun matang sesuatu isu yang diangkat untuk menerbitkan hasil, semua tenaga dan tumpuan diarahkan pula kepada isu lain yang muncul. Kita membazirkan begitu banyak isu-isu besar yang mampu mencetuskan satu perubahan besar dalam negara, tetapi gara-gara kegagalan melaksanakan strategi dengan berkesan, kita bertukar menjadi ‘pengejar isu’.

Mahasiswa Bangkitlah

Mahasiswa wajib bangkit dari kondisi tiada harapan, menggalas tanggungjawab kepada masyarakat sebagai kelompok yang mendapat anugerah Allah SWT dalam ilmu dan kepandaian. Mari kita mulakan satu tugasan besar yang menanti kita sejak sekian lama. Dari mana dan di mana kita patut mulakan, ke mana haluan dan matlamat kita?

Kesedaran Kritikal

Proses paling asas bagi sebarang organisasi mahupun individu memahami dan menangani sebarang isu adalah kesedaran kritikal. Kesedaran kritikal akan membina pemikiran kritis, yang mana sangat diperlukan untuk menghadamkan atau mencernakan sebarang isu dengan mula membuat soalan-soalan dan mencari jawapan yang paling tepat untuk sebarang masalah yang wujud di hadapan kita. Contohnya bagi isu kelesuan mahasiswa. Mari kita membina soalan-soalan daripada masalah ini, dan kita cungkil semua kemungkinan bagi mencari jawapan yang memuaskan intelektualisme kita.

Kesedaran kritikal hanya mempunyai makna jika disusuli dengan tindakan-tindakan yang perlu dan berkesan untuk menangani persoalan yang kita ajukan. Mari kita mulakan proses menyusun tindakan dan memberikan tugasan kepada diri sendiri. Kesedaran dan pemikiran kritikal akan terhakis dan pudar bila kita menjerumuskan diri dalam aliran mainstream yang memaksa kita memberikan perhatian hanya kepada kepentingan peribadi. Mula terlibat dalam perlumbaan mencari harta dan kedudukan. Diri akan menjadi kerdil untuk membuat sebarang tidakan yang bijak demi kepentingan umat, sebaik sahaja dunia dan keduniaan menjadi sesuatu yang sangat besar untuk dimiliki.

Harapan Tinggi Menggunung

Bangkitlah dari posisi kalian membentuk semula gelombang gerakan mahasiswa bagi menghasilkan satu momentum atau perubahan besar dalam semua lapangan kehidupan. Masyarakat luar menantikan satu gagasan besar mahasiswa dilancarkan semula bagi menyelamatkan kehidupan umat yang kian tenat.

0 comments:

Post a Comment