.: ~ PeNa MenUliS KalAm BErbiCara ~ :.

"Dunia ini tiada jaminan melainkan satu peluang"

1:11 PM

::. MANSUHKAN ISA .::

Posted by tinta berbicara



Mari sama-sama kita bersatu hati, bersatu padu, bergabung tenaga untuk mendesak kerajaan memansuhkan akta ISA yang kejam. DEMO GMI akan diadakan pada 1 Ogos pada jam 2 petang. Tempat di mana? Akan dimaklumkan kemudian. Nantikan makluman seterusnya, akan datang.

1:06 PM

::.KAJIAN MERDEKA CENTRE.::

Posted by tinta berbicara

SHAH ALAM 15 JULAI 2009: Satu kajian pendapat** yang telah dijalankan oleh sebuah organisasi bebas mendapati sokongan tinggi daripada rakyat di negeri Selangor terhadap pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat. Pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga telah mendapat penilaian tinggi dalam kajian tersebut yang telah dijalankan oleh Merdeka Centre.

Kajian tersebut yang dilakukan diantara 5 Jun dan 15 Jun, 2009 mendapati sebanyak 60%
daripada rakyat Selangor merasakan Kerajaan Negeri berada dalam hala tuju yang betul.
Sebanyak 63% telah berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar dengan hanya 19% sahaja yang tidak berpuas hati.

Sebanyak 64% rakyat negeri Selangor berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selepas memenangi pilihan raya umum pada mac 2008, manakala 22% adalah tidak berpuas hati.

Mengikut pecahan Kumpulan etnik pula, kajian mendapati 59% Malayu, 69% Cina dan 69%
India adalah berpuas hati. Mengikut komen yang diperolehi, antara sebab yang mengapa
mereka berpuashati adalah program kebajikan kerajaan, ketelusan dan pentadbiran yang cekap serta menolak amalan rasuah. Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, Kerajaan negeri telah memperkenalkan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor termasuklah beberapa program kebajikan seperti Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas, 20 meter padu air percuma kepada rakyat, dana pendidikan anak pekerja ladang dan Hadiah Anak Masuk universiti.

Dalam urusan pentadbiran ekonomi negeri pula, 58% menyatakan mereka berpuas hati, 13 % adalah amat berkeyakinan manakala 45% menyatakan yakin.

Oleh: DZULKARNAIN TAIB

Langkah Perdana Menteri Najib Razak mengadap Sultan Azlan 5 Februari lau merupakan titik hitam dalam sejarah politik Perak yang telah mencetuskan krisis terburuk negeri itu yang didalangi oleh Umno-Barisan Nasional.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk NH Chan dalam temuramah eksklusif bersama Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib pada majlis pelancaran buku beliau,"How To Judge The Judges (Bagaimana menghakimi hakim)" edisi kedua di Ipoh baru-baru ini menyifatkan pertemuan Sultan-Najib sebagai kesilapan amat besar.

Berikut sedutan wawancara dengan NH Chan mengenai keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan yang dianggap salah dan tidak mengikut Perlembagaan serta kupasan berhubung kemelut politik Perak.

DT: Mengapa, pada pandangan Datuk bekas-bekas hakim yang lain berdiam diri dan tidak menyuarakan pendapat mereka berhubung keputusan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan yang dilihat sebagai tidak selari dengan Perlembagaan Negara?

NH: Bagaimana mereka hendak memberi respons kerana apa yang saya katakan ialah mengapa hakim-hakim tersebut membuat penghakiman yang bukan berlandaskan undang-undang. Saya tidak fikir mereka mampu memberi komen. Hanya satu sahaja cara mereka boleh memberi pendapat iaitu dengan mengatakan "saya hakim dan boleh buat apa saja yang saya suka. Saya mentafsir undang-undang dan saya tidak perlu menurutnya". Mereka boleh berkata begitu tetapi bagaimana mereka membuat tafsiran kepada sesuatu yang sudah amat jelas maksudnya. Bolehkah mereka berhujah,"jika perkara itu tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah ia membawa maksud ia boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah?" (merujuk kepada kuasa dan keputusan Speaker yang tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah). Kalau mereka buat juga tafsiran sedemikian mereka akan memperbodohkan diri sendiri.

DT: Sampai bila rakyat boleh menerima keputusan hakim yang jelas tidak mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan?

NH: Pada masa sekarang mereka tidak lagi boleh lari daripada kritikan dan penelitian rakyat terhadap segala penghakiman mereka yang tidak mengikut lunas undang-undang yang betul. Pada satu ketika dahulu tidak ada siapa dikalangan bekas hakim mahu menerangkan mengenai undang-undang kepada masyarakat umum. Umpamanya kalau masyarakat membaca mengenai sesuatu keputusan hakim dalam akhbar mereka tidak akan tahu sama ada penghakiman itu betul atau salah. Mereka akan beranggapan ianya betul kerana datang daripada seorang hakim. Apa yang saya lakukan sekarang ialah saya akan berkata keputusan itu adalah daripada hakim tetapi perlembagaan mengatakan sesuatu yang lain daripada apa yang diputuskan oleh hakim berkenaan.

DT: Apakah yang menyebabkan Datuk bersungguh-sungguh mahu menerangkan mengenai Perlembagaan kepada masyarakat?

NH:
Saya tidak berniat berbuat demikian pada mulanya tetapi sahabat saya, Ngan Siong Hing, meminta saya menulis mengenai badan kehakiman. Saya menjawab apa lagi yang hendak ditulis mengenai badan kehakiman. Bagaimana saya hendak menulis berhubung sesuatu yang sudah jelas kepada semua orang. Sahabat saya itu menjawab, "apa yang jelas pada anda mungkin tidak jelas kepada kami sebab kami orang awam sentiasa berfikir terdapat sesuatu yang misteri mengenai keputusan-keputusan hakim. Kami fikir ada semacam aura mengenai peribadi hakim yang menyebabkan mereka tidak boleh dipertikaikan". Saya menjawab hakim-hakim juga adalah manusia biasa, mereka melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun hakim seperti Augustine Paul mengeluarkan penghakiman bertulis yang tidak kena mengena dengan isu yang dibicarakan. Hakim seperti beliau boleh menulis panjang lebar mengenai perkara-perkara mengarut (gobbledegook) tanpa orang awam mengetahuinya. Saya meminta akhbar media perdana menyiarkan artikel saya tetapi tidak satu pun mahu menerima. Apabila ia disiarkan dalam internet, tidak semena-mena saya jadi popular.

DT: Faktor apa yang mendorong Datuk mula menulis mengenai keputusan-keputusan hakim yang dianggap bercanggah dengan Perlembagaan?

NH:
Saya rasa ia bermula dengan krisis politik Perak. Saya melihat dan membaca dalam akhbar ramai pihak seperti profesor undang-undang, peguam menulis mengenai perkara tersebut tetapi kebanyakannya bersilang pendapat antara satu sama lain. Saya mula berfikir sama ada mereka telah membaca dan mendapati apa yang dikatakan dalam Perlembagaan dan apa yang mereka debatkan adalah berbeza. Jadi apabila saya menulis buat kali pertama saya berpendapat itulah untuk kali pertama dan terakhir tetapi saya dihujani dengan permintaan supaya saya terus menerangkan kepada orang ramai apa yang mereka tidak faham mengenai keputusan hakim. Sebagai manusia rakyat boleh rasakan sesuatu tidak kena apabila hakim membuat penghakiman yang salah walaupun mereka tidak tahu di mana kesilapan itu kerana mereka bukan peguam. Saya pun berfikir sekiranya saya boleh terangkan bahawa undang-undang sebenarnya bukanlah sulit tetapi mudah maka orang ramai akan memahaminya dengan senang.

DT: Adakah Datuk berpendapat bekas-bekas hakim yang lain juga patut memainkan peranan yang sama sekiranya mereka berpendapat ada penghakiman yang salah?

NH:
Untuk memberi penjelasan mengenai sesuatu penghakiman, seseorang itu perlu tahu apa yang diperkatakannya. Kalau sesuatu salah dihuraikan maka akan hilanglah kredibiliti dalam sekelip mata. Sebelum saya memberi komen saya akan meneliti dahulu permasalahannya dan meneliti jawapan saya beberapa kali. Dengan cara itu kredibiliti saya tidak terjejas. Kebanyakan bekas hakim tidak tahu apa hendak buat kerana negara ini mempunyai Akta Hasutan; kalau silap cakap atau tulis diri akan menjadi susah. Mujur orang seperti saya dan sahabat saya, (Datuk Gopal) Sri Ram arif mengenai undang-undang secara mendalam dan kami tahu apa yang kami katakan dan mampu mempertahankan kenyataan kami.

DT: Apakah contoh kes di mana enam orang hakim yang Datuk telah dikenalpasti gagal melaksanakan undang-undang menurut Perlembagaan terlibat secara langsung?

NH:
Terdapat satu penghakiman lisan Mahkamah Persekutuan berkaitan krisis Perak yang mana saya telah mengkritiknya. Setelah penghakiman bertulis dikeluarkan ia lebih teruk daripada penghakiman lisan terdahulunya. Semasa saya melancarkan buku saya ("How To Judge The Judges", edisi kedua) saya mengatakan apa yang perlu saya lakukan ialah menjelaskan undang-undang secara mudah difahami; orang awam akan faham apa yang diputuskan oleh hakim dan apakah undang-undang yang diperkatakan itu. Selepas itu anda sendiri akan mampu menghakimi hakim. Seseorang hakim itu perlu melaksanakan keadilan menurut undang-undang. Beliau tidak boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan undang-undang. Kalau seorang hakim melakukannya jua, lebih baik kita buang sahaja undang-undang yang ada.

DT: Adakah mudah bagi orang awam untuk menghakimi hakim?

NH:
Apabila kita memahami undang-undang akan mudahlah menghakimi seseorang hakim itu. Dalam Internet semua orang sekarang menilai hakim walaupun mereka belum membaca buku saya. Tugas saya hanya menjelaskan undang-undang dalam bahasa yang mudah difahami dan selepas terpulang kepada pembaca. Jika para hakim tidak mahu mengikut undang-undang, saya akan memberi penjelasan apa kepada orang ramai apakah undang-undang yang sebenar supaya mereka boleh membuat penilaian samada hakim itu mengikut undang-undang atau tidak. Tugas seorang hakim hanya melaksanakan keadilan menurut undang-undang, itu sahaja.

DT: Apakah kedudukan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak lantikan Barisan Nasional sah disisi undang-undang?

NH:
Speaker tidak boleh dipecat kecuali dalam tiga perkara - beliau sendiri meletak jawatan atau diturunkan daripada jawatan disebabkan perbuatan jenayah atau atas keputusan DUn sendiri. Dalam krisis Perak Speaker tidak diturunkan daripada jawatan beliau. Sekiranya mahu dilakukan DUN mesti membuat proses pengundian tetapi BN melantik calon mereka sebagai Speaker sebelum proses ini dibuat.

DT: Sekiranya Speaker lantikan BN adalah haram bagaimana pula dengan keabsahan Dr Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar?

NH:
Keputusan terperinci hakim Mahkamah Tinggi menjelaskan isu tersebut begitu juga Profesor Andrew Harding yang menyatakan apa yang dikatakan hakim tersebut adalah tepat dan betul. Saya pun bersetuju dengan pendapat beliau. Apa yang dinyatakan oleh hakim itu ialah berdasarkan Artikel 16(6) pihak manakah yang layak menentukan sama ada menteri besar telah hilang majoriti dalam DUN kerana kalau dikatakan Sultan tidak ada peruntukan sedemikian dalam Perlembagaan Negeri Perak. Pada mulanya saya sendiri berpendapat menteri besar boleh menentukan perkara ini dan dengan itu apa yang dinyatakan dalam Artikel 16(6) adalah relevan tetapi hakim Mahkamah Tinggi itu telah menunjukkan bahawa pendapat saya tersasar. Beliau berkata tidak ada sesiapa yang boleh menentukan sama ada menteri besar telah kehilangan majoriti kecuali undi diadakan dalam Dewan. Oleh yang demikian kesalahan terbesar Najib (Razak) ialah langkah beliau pergi mengadap Sultan. Sekiranya Najib ke Dewan sudah tentunya beliau mampu mengenepikan menteri besar ketika itu daripada jawatannya kerana Nizar (Jamaluddin) sendiri tidak tahu pada saat itu bahawa terdapat tiga ADUN Pakatan Rakyat yang telah belot.

DT: Jadi Najib telah tersilap langkah dengan mengadap Sultan Azlan?

NH:
Saya bukan ahli politik tetapi dalam dunia politik atau pun peperangan kalau anda tersilap langkah anda akan terperangkap dan tidak boleh lari. Begitu juga halnya dengan Najib. Kalaulah beliau tidak mengadap Sultan semua kemelut politik kini tidak akan berlaku. Kalaulah beliau selesaikan isu kedudukan menteri besar di DUN Perak pada ketika beliau mempunyai sokongan daripada tiga ADUN Pakatan Rakyat yang belot tersebut sudah tentu beliau akan berjaya mengenepikan Nizar sebagai menteri besar melalui undi tidak percaya. Di sini saya bukan bercakap mengenai undang-undang tetapi berhubung taktik dan strategi. Najib telah membuat langkah politik yang salah dan kini terpaksa menanggung kesannya.

DT: Kesimpulannya apakah natijah daripada langkah Najib mengadap Sultan telah membuahkan satu kesilapan politik yang amat besar dan kesan yang mendalam?

NH:
Sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan sudah tentu arif bahawa sekiranya baginda mahu membuat keputusan baginda tidak boleh berjumpa dengan satu pihak sahaja. Sekiranya sebelah pihak sahaja mahu mengadap Sultan, baginda perlu bertegas dan mengatakan sebelah pihak lagi juga perlu ada bersama semasa mengadap. Baginda sepatutnya menerima kedua-dua pihak mengadap pada masa yang sama. Sekiranya baginda menerima mengadap sebelah pihak sahaja maka rakyat akan mempunyai tanggapan bahawa Sultan telah dipengaruhi oleh Najib. Sama ada betul atau tidak Najib mempengaruhi Sultan adalah tidak penting kerana tanggapan rakyat itu lebih mustahak. Jikalau seorang ahli politik membuat kesilapan taktikal dan kesilapan itu boleh dihidu oleh orang awam maka jika saya menjelaskan mengenai isu ini rakyat juga boleh memahaminya. Semua orang mampu menilai sama ada sesuatu yang terjadi itu betul atau salah. Sekiranya seseorang itu telah membuat kesalahan kita akan tahu dia telah melakukan kesalahan.

DT: Adakah Zambry takut beliau akan kalah sekiranya DUN Perak dibubarkan?

NH:
Saya rasa semua pihak bersetuju bahawa sekiranya pilihan raya baru diadakan di Perak BN akan kalah teruk.

DT: Mengapa BN masih terus mahu menindas dan menafikan hak rakyat Perak untuk mempunyai kerajaan pilihan mereka?

NH:
Saya pun tidak tahu mengapa tetapi mungkin mempunyai niat untuk membunuh diri. Seseorang itu tahu dia akan mati jika menyerang musuhnya tetapi kalau ia melakukannya juga ini bermakna dia mahu membubuh diri secara kamikaze.

DT: Pada pandangan Datuk mengapa Sultan mengambil keputusan untuk tidak perkenankan permintaan Nizar supaya DUN dibubarkan?

NH:
Saya tidak tahu apa yang berlegar dalam fikiran baginda atau motif disebalik keputusan itu.Walau bagaimanapun tindakan membenarkan Najib mengadap tanpa juga kehadiran Nizar menyebabkan rakyat beranggapan Najib telah mempengaruhi Sultan.
Mungkin juga setelah seseorang hakim itu telah lama pencen daripada perkhidmatan dia akan lupa. Mungkin dia lupa mengenai undang-undang. Ada yang mengatakan kalau kita sudah tua kita akan nyanyuk dan lupa banyak perkara. Sekarang saya mampu lagi mengingati apa yang saya tulis dalam buku saya tetapi kalau anda tanya saya lima tahun dari sekarang saya mungkin tidak ingat lagi. Mungkin saya tidak ingat lagi apa yang telah saya tulis.

DT: Pada pandangan Datuk apakah langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik di Perak?

NH:
Di England "House of Lords" yang sama taraf dengan Mahkamah Persekutuan di negara ini telah membuat satu keputusan yang tidak popular dengan rakyat pada tahun 1909. Rakyat menentang keputusan tersebut dan menunggu selama enam tahun untuk menendang keluar kerajaan ketika itu. Ianya juga boleh berlaku di Malaysia.

DT: Adakah apa yang berlaku kepada Speaker Perak satu amalan bahaya kepada badan kehakiman?

NH:
Siapa yang mewujudkan kes contoh yang merbahaya ini? Keputusan Mahkamah Persekutuan mengikat semua pihak tapi ia adalah keputusan yang salah. Mahkamah Persekutuan masih berkuasa walaupun ia membuat keputusan yang salah. Rakyat biasa seperti saya hanya mampu mendedahkan kepincangan dalam keputusan mahkamah and dengan pemahaman rakyat diharap mereka akan menukar kerajaan pada pilihan raya akan datang.

DT: Datuk pernah menulis penghakiman berhubung kes Speaker Perak telah mewujudkan satu ckes contoh yang merbahaya kepada sistem kehakiman negara, jadi apa komen Datuk mengenai tindakan Gobind Singh Deo menyaman Speaker Dewan Rakyat?

NH:
Saya fikir apa yang dilakukan oleh Gobind ialah memulangkan paku serpih iaitu kalau boleh dilakukan di DUN Perak kenapa tidak kepada Speaker Parlimen? Kita tidak boleh ada dwi standard, itulah mesej yang ingin disampaikan.

DT: Apakah permintaan Nizar Jamaluddin untuk mendapatkan sidang hakim seramai 11 orang menunjukkan rakyat tidak lagi mempercayai sistem kehakiman negara ini?

NH:
Daripada 11 hakim Mahkamah Persekutuan saya telah kenalpasti enam yang tidak menegakan keadilan menurut Perlembagaan Negara. Kalaupun Nizar meminta seramai 11 hakim bersidang beliau akan kalah kerana enam orang hakim akan berlaku tidak adil berbanding lima hakim lagi, jadi apa gunanya meminta 11 hakim.


DT: Apa pendapat Datuk mengenai keputusan hakim yang menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya berkuasa menentikan sama ada sebuah kerusi undangan negeri itu dikosongkan atau sebaliknya dalam isu tiga ADUN Pakatan Rakyat yang telah belot?

NH:
Di mana undang-undang yang memberi kuasa itu kepada SPR, tunjukkan kepada saya. Nampaknya hakim boleh membuat undang-undang mereka sendiri! Dalam isu ini Speaker boleh menganggap ketiga-tiga ADUN tersebut telah meletak jawatan tetapi jika mereka mempertikaikan dengan mengatakan mereka tidak meletak jawatan maka mereka perlu mendapatkan keputusan muktamad daripada Dewan. Itulah sebenarnya langkah yang betul tetapi sebaliknya mereka bertiga merujuk kepada Mahkamah Persekutuan dan mahkamah tersebut pun membuat keputusan yang bercanggah dengan undang-undang. Kerana itu saya mengkritik hakim tersebut disebabkan penghakiman beliau yang salah. Saya berkali-kali berkias sekiranya hakim-hakim ini terus membuat penghakiman yang salah dan tidak melaksanakan keadilan mereka akan menyebabkan kerajaan BN kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

DT: Mungkin niat mereka hendak jatuhkan kerajaan?

NH:
Mungkin juga, saya pun tidak faham motif mereka. Mungkin mereka berniat untuk membantu kerajaan tanpa mengetahui perbuatan mereka itu sebenarnya memberi mudarat kepada kerajaan.

4:20 PM

MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN NIZAR

Posted by tinta berbicara



PUTRAJAYA [8.29 pm] - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Menteri Besar Perak, Ir. Mohd Nizar Jamaluddin (foto) yang memohon supaya rayuan beliau didengar di hadapan sidang 11 hakim. Mahkamah Persekutuan bagaimanapun tidak memberi alasan mengapa sidang 11 hakim tidak dapat diadakan, kata peguam Leong Cheok Keng. "Tiada sebab atau penjelasan diberikan mengapa permohonan kami ditolak," kata Leong.

Mahkamah Persekutuan menetapkan kes rayuan Nizar akan didengarkan di hadapan sidang lima hakim. "Ini adalah tempat terakhir untuk rayuan klien kami. Jika permohonan Nizar nanti juga ditolak oleh sidang lima hakim, maka tamatlah litigasi klien kami," kata Leong. Nizar memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan samada beliau atau Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar yang sah.

Permohonan ini dibuat selepas Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar yang sah. Mahkamah Rayuan juga tidak mengemukakan alasan bertulis mengapa Zambry disytihar Menteri Besar.

Leong menjelaskan sidang 11 hakim adalah penting bagi menyakinkan rakyat bahawa sistem kehakiman negara tidak mengamalkan amalan berat sebelah, selain memastikan prosiding mahkamah yang bebas. "Penolakan ini amat mendukacitakan kepada semua rakyat Malaysia yang percaya kepada konsep kehakiman yang adil dan saksama," kata leong. "Selagi ada unsur-unsur yang menampakkan amalan berat-sebelah, rakyat tidak akan menerima keputusan mahkamah tertinggi di negara ini sebagai keputusan muktamad," kata leong.

1:31 PM

Fenomena Dunia Diterbalikkan ....

Posted by tinta berbicara

Semakin hari dunia semakin terbalik, hampir terbalik dan mungkin sudah terbalik. Mengapa? Dahulu bekerjaya sebagai ustaz kini semakin hanyut ditelan arus hiburan mengejar populariti ingin menjadi artis (penyanyi, pelakon). Jika dulu songkok sebagai aksesori tapi kini pelbagai bentuk aksesori gelang, cincin dan rantai tersarung di badan saling silih berganti mengikut kesesuaian majlis. Sedang perkara itu sudah terang lagi bersuluh dilarang dalam agama sama sekali. Yang dahulunya membawa lagu-lagu dakwah, berimej islamik tapi kini imej itu sudah hilang dibawa arus dan kini mengikuti arus muzik terkini rock yang mana mesej-mesej cinta yang melalaikan dan menarik minat golongan muda disajikan. Anak-anak kandung diabaikan nafkah dan perasaannya tapi anak orang diberi layanan istimewa, dipenuhi segala permintaan, dijaga perasaannya, diberi bermacam hadiah yang mana anak-anak sendiri tidak pernah dilayan sebegitu rupa oleh ibu bapa mereka sendiri, bak kata pepatah anak kera disusukan, anak sendiri dibiar mati kelaparan. Inilah kehidupan dan sikap masyarakat hari ini.


Situasi politik negara kita pula dalam meyelesaikan krisis Perak, hari ini diumumkan menteri besar, esok ditarik balik jawatannya. Hari ini ulasan hujah bertulis mengenai keputusan hakim mengesahkan Zambry sebagai MB Perak yang sah lambat dikeluarkan oleh 3 panel hakim tapi sebaliknya pula berlaku dalam situasi DS Nizar. Tindakan cepat dan drastik pula dikeluarkan oleh mereka untuk menangguhkan keputusan mahkamah tinggi yang mengesahkan DS nizar sebagai MB Perak yang sah dalam tempoh masa kurang dari 24 jam. Hari ini ketika sidang DUN Perak yang berlangsung di bawah pokok dikatakan tidak sah kerana perbicaraan yg melibatkan DS Nizar dan Zambry masih berlangsung di mahkamah, tetapi sidang DUN yang berlaku 7 Mei lalu dikatakan sah pula sedangkan perbicaraan antara DS Nizar dan Zambri masih berlangsung juga ketika itu. Lebih teruk lagi Speaker DUN yang masih sah (sivakumar) dinafikan haknya dengan melantik Speaker DUN baru oleh Zambry dan konconya malah turut diseret keluar dari bangunan SUK seperti anjing. Apa dah jadi pada sistem kehakiman negara kita hari ini? Mungkin kerana “melayu mudah lupa”, bak kata Tun Mahadhir suatu ketika dulu. Inikah demokrasi? Inikah keadilan? Bak kata Nabil (Raja Lawak). “lu pikir la sendiri”.


“Sudah jatuh ditimpa tangga”, pepatah yang sesuai untuk menggambarkan situasi yang dialami oleh DS Nizar hari ini. Rayuan DS Nizar Jamaluddin terhadap keputusan mahkamah rayuan mengisthiarkan Zambry Kadir sebagai menteri besar Perak terjejas ekoran tindakan tiga panel hakim berkenaan gagal mengemukakan hujah bertulis berkenaan keputusan mereka. Ulasan keputusan kehakiman itu penting bagi membolehkan peguam yang mewakili DS Nizar menyiapkan pembelaan rapi untuk perbicaraan di Mahkamah Persekutuan. Tiga surat telah dihantar oleh DS Nizar dan peguamnya dengan harapan mereka memberi ulasan tersebut supaya rayuan ke mahkamah persekutuan boleh dibuat tetapi sehingga ke hari ini, ulasan itu tidak kelihatan.


Mengikut amalan standard badan kehakiman, hakim mempunyai 30 hari untuk membuat ulasan keputusan kehakiman dan permohonan rayuan perlu dihantar dalam tempoh 30 hari. Ini bermakna tinggal dua hari sahaja lagi untuk mereka mengemukakan dokumen berkenaan. Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut, DS Nizar telah diarahkan oleh peguamnya untuk menghantar permohonan, walaupun tidak mempunyai ulasan daripada 3 hakim tersebut. Dalam situasi yang kritikal ini, bagaimana DS Nizar bersama peguamnya ingin merangka soalan dan meneka pemikiran hakim-hakim? Di mana letaknya keadilan untuk mereka ini? Selagi mereka yang gila kuasa, tidak bertanggungjawab, mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan diri dan tidak memahami kepentingan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya selagi itulah kezaliman terus tertegak, keadilan sukar untuk dikecapi. Kepada semua rakyat Malaysia dan pembaca di blog ini, gunakan pacaindera yang diberikan dengan sebaiknya, gunakan akal dan hati sebaiknya menilai baik dan buruk setiap perkara demi kemaslahatan semua. Kepada DS Nizar semoga ditetapkan hati, dipermudahkan urusan. Allah sentiasa bersama orang-orang yang benar. Perjuangan sepahit hempedu akan memberikan kemenangan semanis madu. Hanya Dia yang tahu bila kemenangan itu tiba, dalam tempoh itu kita hanya mampu berusaha. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

9:42 AM

Konvensyen KPP Tentukan Hala Tuju Ahli Bukan Islam PAS

Posted by tinta berbicara



KUALA LUMPUR, 26 Mei: Konvensyen Kelab Penyokong PAS (KPP) yang akan diadakan pada 30 Mei ini akan membincangkan dengan serius cadangan untuk menaiktarafkan kelab sebagai salah satu daripada sayap PAS dan bergelar "Dewan".Demikian kata Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Halimah Ali di sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur Selasa lepas.


Menurutnya, konvensyen tersebut akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang akan bermula dari 8.30 pagi hingga 2.00 petang di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Klang.Dengan bertemakan "BERDIRI TEGUH MENEMPUHI CABARAN",konvensyen itu bertujuan untuk menghimpunkan kepimpinan Kelab Penyokong Pas daripada seluruh negara.


Konvensyen sehari ini juga akan menerangkan peranan yang perlu dijalankan serta memberi penerangan berkaitan perancangan yang telah dirancangkan oleh KPP.Selain daripada itu juga, pelan untuk menaikkan tarak kelab ke taraf Dewan akan diterangkan kepada pimpinan Kelab Penyokong PAS dalam konvensyen itu.Menurut Dr Halimah Lagi, konvensyen itu bakal menjadi pemangkin baru dari masyarakat bukan Melayu yang telah lama menyetai KPP.

2:44 PM

Mogok Lapar

Posted by tinta berbicara

Mogok lapar di Perak - Ustaz Ahmad Awang beri penjelasan
Mohd Rashidi Hassan Mon May 25, 09 1:13:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan keputusan Badan Perhubungan PAS Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan munajat sewaktu berhadapan dengan kemelut politik di negeri Perak adalah selaras dengan Islam.



Dalam kenyataannya sebentar tadi, Ustaz Ahmad berkata, hikmah berpuasa juga bertepatan dengan sunnah apabila umat Islam digalakkan berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan hijrah iaitu 1 Jamadil Akhir (esok).

Katanya, keputusan PAS selaras dengan hasrat parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mahu menganjurkan mogok lapar tiga hari mulai esok sebagai membantah kezaliman Barisan Nasional terhadap rakyat di negeri itu.
"Saya sudah bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam daripada DAP dan KeADILan, mereka mengatakan mogok lapar yang dianjurkan tidak dibuat sehingga menyeksa diri.
"Lagi pun mereka menyediakan khidmat doktor yang akan sentiasa memantau keadaan," katanya.

Sekaligus Ustaz Ahmad menolak kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria yang mengatakan umat Islam haram melakukan mogok lapar.
"Jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat.
"Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Hassan dalam sebuah akhbar harian hari ini yang menolak mogok lapar, saya fikir tidak sesuai," tegasnya.

Ustaz Ahmad memberitahu, beliau sudah mengarahkan PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan pada Khamis (hari ketiga berpuasa) malamnya diadakan solat hajat dan munajat.

Tegasnya, matlamat utama berpuasa sunat dan munajat diadakan ialah untuk memohon kepada Allah agar digerakkan hati pihak yang berkuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.
"Kita tidak mahu terlalu hampa dengan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kita masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan, apa yang kita mahu, sebagai orang Islam, kita mesti sentiasa dekat kepada Allah dan memohon pertolongan dari-Nya," tegas beliau.
Sehubungan itu beliau mempelawa umat Islam yang berpuasa di Perak untuk menyertai majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak selama tiga hari berturut-turut mulai esok. - mks._ -->