.: ~ PeNa MenUliS KalAm BErbiCara ~ :.

"Dunia ini tiada jaminan melainkan satu peluang"

1:31 PM

Fenomena Dunia Diterbalikkan ....

Posted by tinta berbicara

Semakin hari dunia semakin terbalik, hampir terbalik dan mungkin sudah terbalik. Mengapa? Dahulu bekerjaya sebagai ustaz kini semakin hanyut ditelan arus hiburan mengejar populariti ingin menjadi artis (penyanyi, pelakon). Jika dulu songkok sebagai aksesori tapi kini pelbagai bentuk aksesori gelang, cincin dan rantai tersarung di badan saling silih berganti mengikut kesesuaian majlis. Sedang perkara itu sudah terang lagi bersuluh dilarang dalam agama sama sekali. Yang dahulunya membawa lagu-lagu dakwah, berimej islamik tapi kini imej itu sudah hilang dibawa arus dan kini mengikuti arus muzik terkini rock yang mana mesej-mesej cinta yang melalaikan dan menarik minat golongan muda disajikan. Anak-anak kandung diabaikan nafkah dan perasaannya tapi anak orang diberi layanan istimewa, dipenuhi segala permintaan, dijaga perasaannya, diberi bermacam hadiah yang mana anak-anak sendiri tidak pernah dilayan sebegitu rupa oleh ibu bapa mereka sendiri, bak kata pepatah anak kera disusukan, anak sendiri dibiar mati kelaparan. Inilah kehidupan dan sikap masyarakat hari ini.


Situasi politik negara kita pula dalam meyelesaikan krisis Perak, hari ini diumumkan menteri besar, esok ditarik balik jawatannya. Hari ini ulasan hujah bertulis mengenai keputusan hakim mengesahkan Zambry sebagai MB Perak yang sah lambat dikeluarkan oleh 3 panel hakim tapi sebaliknya pula berlaku dalam situasi DS Nizar. Tindakan cepat dan drastik pula dikeluarkan oleh mereka untuk menangguhkan keputusan mahkamah tinggi yang mengesahkan DS nizar sebagai MB Perak yang sah dalam tempoh masa kurang dari 24 jam. Hari ini ketika sidang DUN Perak yang berlangsung di bawah pokok dikatakan tidak sah kerana perbicaraan yg melibatkan DS Nizar dan Zambry masih berlangsung di mahkamah, tetapi sidang DUN yang berlaku 7 Mei lalu dikatakan sah pula sedangkan perbicaraan antara DS Nizar dan Zambri masih berlangsung juga ketika itu. Lebih teruk lagi Speaker DUN yang masih sah (sivakumar) dinafikan haknya dengan melantik Speaker DUN baru oleh Zambry dan konconya malah turut diseret keluar dari bangunan SUK seperti anjing. Apa dah jadi pada sistem kehakiman negara kita hari ini? Mungkin kerana “melayu mudah lupa”, bak kata Tun Mahadhir suatu ketika dulu. Inikah demokrasi? Inikah keadilan? Bak kata Nabil (Raja Lawak). “lu pikir la sendiri”.


“Sudah jatuh ditimpa tangga”, pepatah yang sesuai untuk menggambarkan situasi yang dialami oleh DS Nizar hari ini. Rayuan DS Nizar Jamaluddin terhadap keputusan mahkamah rayuan mengisthiarkan Zambry Kadir sebagai menteri besar Perak terjejas ekoran tindakan tiga panel hakim berkenaan gagal mengemukakan hujah bertulis berkenaan keputusan mereka. Ulasan keputusan kehakiman itu penting bagi membolehkan peguam yang mewakili DS Nizar menyiapkan pembelaan rapi untuk perbicaraan di Mahkamah Persekutuan. Tiga surat telah dihantar oleh DS Nizar dan peguamnya dengan harapan mereka memberi ulasan tersebut supaya rayuan ke mahkamah persekutuan boleh dibuat tetapi sehingga ke hari ini, ulasan itu tidak kelihatan.


Mengikut amalan standard badan kehakiman, hakim mempunyai 30 hari untuk membuat ulasan keputusan kehakiman dan permohonan rayuan perlu dihantar dalam tempoh 30 hari. Ini bermakna tinggal dua hari sahaja lagi untuk mereka mengemukakan dokumen berkenaan. Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut, DS Nizar telah diarahkan oleh peguamnya untuk menghantar permohonan, walaupun tidak mempunyai ulasan daripada 3 hakim tersebut. Dalam situasi yang kritikal ini, bagaimana DS Nizar bersama peguamnya ingin merangka soalan dan meneka pemikiran hakim-hakim? Di mana letaknya keadilan untuk mereka ini? Selagi mereka yang gila kuasa, tidak bertanggungjawab, mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan diri dan tidak memahami kepentingan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya selagi itulah kezaliman terus tertegak, keadilan sukar untuk dikecapi. Kepada semua rakyat Malaysia dan pembaca di blog ini, gunakan pacaindera yang diberikan dengan sebaiknya, gunakan akal dan hati sebaiknya menilai baik dan buruk setiap perkara demi kemaslahatan semua. Kepada DS Nizar semoga ditetapkan hati, dipermudahkan urusan. Allah sentiasa bersama orang-orang yang benar. Perjuangan sepahit hempedu akan memberikan kemenangan semanis madu. Hanya Dia yang tahu bila kemenangan itu tiba, dalam tempoh itu kita hanya mampu berusaha. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

0 comments:

Post a Comment